Harriz..
Satu nama yg cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia pernah menjadi
suami aku. Suami yg bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah memiliki
sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yg berlandaskan kertas
putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang suami.
Aku tahu, Harriz tidak pernah mempersetujui dengan apa yg aku lakukan
sebelum kami mengikat tali perhubungan yg suci. Namun, kerana sayang dan
cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang bantahan yang keluar
dari mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti Harriz? Sungguh berbeza nilai dan
peribadi mereka antara satu sama lain. Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak
dapat menerima cintanya. Kenapa?... ..Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang
suami dan pemimpin yg boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat. Adakah aku
yang terlalu bodoh untuk menolak cintanya yg tulus dan ikhlas menyayangi aku,
atau keegoan aku yg menguasai diri.
"Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini yang
ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit dan
bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti
bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta
saya sampai ke mati.
"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk
menghilangkan ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah
letakkan awak dalam hati saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yg saya
cintai walau awak membenci saya seumur hidup awak... ... "
Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika itu mulai
luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah kerana bagi aku,
lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk membuktikannya adalah
satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz. Bagi aku, Izham lelaki pertama
yg mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Izham
sewaktu kami menyambung pengajian di London. Izham bijak memainkan kata-katanya
dengan rupa parasnya yg kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja
yg tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan Izham, seorang lelaki yg menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana. Hampir dua
tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara kami sepanjang
perhubungan itu.
Pertengkaran kecil adalah perkara biasa bagi kami. Seringkali juga
kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan Izham kerana dia bukanlah
seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak kali mereka terserempak
dengan Izham bersama gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah
percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu
cemburukan aku. Itulah sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami
putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham. Sehinggakan
aku hampir hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di London
kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku
bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku. Entah
mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz hanyalah pekerja bawahan
ayah. Dia bukanlah dari keluarga yg senang dan setaraf dengan kami. Namun, ayah
tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz mampu menjaga aku sebagaimana
ayah dan ibu menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan Harriz
sehinggakan dia pernah berkata segala hartanya termasuk aku akan diserahkan
kepada Harriz andai satu hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan
ayah terhadap Harriz memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu,
ayah ada penyakit yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak
sanggup untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku.
Betapa perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari
keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi
serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala
kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan aku
sendiri. Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau
sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama.
Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yg tidak pernah aku temui. Aku bencikan Harriz
kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yg ayah bayangkan. Dia mungkin
mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan mengahwini
aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu. "Selepas kita bernikah,
saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah
dan ibu saya begitu juga dengan keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan
saya. Ini dah termaktub dalam perjanjian kita." Aku tidak berani memandang
wajah Harriz ketika kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku
akui, Harriz memang tampan orangnya malah lebih kacak daripada Izham. Sedikit
sebanyak hati perempuan aku mulai cair namun aku pantas melarikan fikiranku
pada perkara yang lain. Harriz merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah.
Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati
aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang Harriz dan cuba
berlagak serius.
"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yg ada di hadapan kita. Saya
dah letakkan fail perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak tahu nak
menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku memerli
Harriz.
Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh pelusuk
wajahku dijajahnya.
"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat.
Sekarang, saya sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada
saya. Kecantikan yg tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu
bahawa sungguh indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt
Hamdi... " Ungkapan pertama keluar dari mulut Harriz. Aku tersedak, hampir
tersembur fresh orange yang sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di
dalam beg tangan.
Harriz masih tersenyum. Merah padam muka aku menahan malu.
Bijak sungguh Harriz bermain dengan kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan
pujiannya. Ahh... Lelaki, semuanya sama...
"Tapi sayang, awak tidak
menggunakan kecantikan awak itu untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan
awak, saya ini bukanlah seperti apa yang awak bayangkan. Niat saya ikhlas untuk
memperisterikan Nurul Ain Bt Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah,
awak takut saya akan merampas semuanya itu dari tangan keluarga awak. Terus
terang saya katakan, seandainya awak ini adalah gadis cacat yang kudung
tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan mengahwini awak walau awak miskin
sekalipun. Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci
hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di
dalam hati saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi
bertuah ini." Harriz tersenyum lagi.
Aku pula tergamam. Macam mana dia
boleh mengenali aku sejauh begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami
pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak kerana inilah kali pertama aku melihat
wajahnya. Sungguh pelik orang ini.
Harriz membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia
mengambil pen dari poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut.
"Awak
tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?" Aku memberanikan diri
untuk bertanya pada Harriz. Sekali lagi dia memandang aku dengan pandangan yang
penuh bermakna baginya.
"Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan
berubah untuk menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?"
Terperangkap lagi aku dengan kata-katanya. Entah kenapa di mana hilangnya marah
aku dan semangat aku ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!. Aku
bukan mudah untuk menerima dia. Cinta aku pada Izham masih kuat. Harriz bangun.
Air minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku.
"Assalamualaikum... ." Itulah kata-kata terakhir yang diucapkannya
sebelum meninggalkan restoran itu.
Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini. Sebelum aku berjumpa dengan
Harriz, terlalu banyak kemusykilan tentangnya yang berlegar-legar di dalam
fikiran aku. Kini pada pertemuan pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran
aku memikirkan tentang Harriz. Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu
daripada aku? Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh...
.makin difikir, makin pening aku dibuatnya.
Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yg
tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yg diadakan amat meriah tetapi aku tidak
merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz juga begitu. Perhubungan aku dan Harriz
memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri sebelum Harriz melafazkan akad
nikah. Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah tetapi di sebalik
tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan tersebut. Harriz benar-benar
memberi kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku menjengah di hati kecilku.
Pernah aku menasihati dia supaya melepaskan aku sebelum tamat kontrak
perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu.
"Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat untuk berpisah
dengan awak, saya tetap akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai
selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana perasaan saya pada
awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau boleh, saya
mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya dan menyayangi
saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap awak."
Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika aku sedang mengikat rambut
lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang
berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku menjarakkan
diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz semakin tajam
memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud dalam diri ini.
Harriz cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.
"Tolong
jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini saya bertahan dengan sikap
dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata manis awak tu. Saya
tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun setahun atau dua tahun atau
selama-lamanya, saya tidak akan mencintai awak atau belajar untuk menyintai
awak!! Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan? Izham lebih
dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan
memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak
perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani. Aku sendiri terkejut
dengan tindakan aku. Dari mana aku dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku?
Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat untuk mempertahankan diri wujud
dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada Izham semakin kuat dan kesalahan
aku pada Izham juga berat.
Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut wajahnya
yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.
"Maafkan
saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat untuk menyakitkan hati awak,
Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas sahaja
kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak memandang wajah Harriz.
"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita
berjemaah," pelawa Harriz lembut. Aku memandang wajahnya. Dia tersenyum,
"Saya tunggu di bilik." Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di
ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali
kemarahan aku yang berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka
selamba sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di
rumahku. Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa benci dalam diri
Harriz supaya dia membenci aku.
Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3 bulan. Ayah dan ibu pula sudah
bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain dan tidak bukan mesti
berkaitan dengan hal anak. Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa aku ini
masih suci lagi. Harriz tidak pernah menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia
benar-benar mengikut segala kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak
menjalinkan apa sahaja hubungan dengan aku. Aku bertambah bingung. Segala apa
yang aku lakukan semuanya tidak menjadi. Harriz masih lagi menyayangi dan
menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku rindukan Izham di saat-saat
begini. Aku kesunyian. Tanpa Izham aku rasa kehilangan. Kadangkala aku nampak
bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai bila aku mampu bertahan. Harriz terlalu
baik terhadap aku. Hanya perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh
cinta padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk menambat hati aku. Aku
juga manusia biasa. Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam hidup ini.
Apakah perasaan aku terhadap Harriz sekarang? Aku semakin bingung dengan
kehidupan yang aku lalui kini.
Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di rumah. Tapi, bukan kerana
banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya Harriz menyangka
aku perempuan yg selalu balik lewat malam kerana puas berseronok di luar.
Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk.
Suasana gelap menyelubungi rumah
banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena perkahwinan kami. Mujurlah
hanya aku dan Harriz yang tinggal di sini. Kalau tidak, tentu aktiviti kami
akan terbongkar lebih awal. Minta-minta Harriz akan memarahi aku kerana pulang
lewat. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku telah terlanggar
sesuatu yang besar di hadapan. Hampir terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada
seseorang yang sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh. Berderau darah
dibuatnya. Lampu ruang tamu dipasang... Aku tergamam. Pinggangku masih lagi
dipaut oleh Harriz. Mata bertentang mata. Hampir beberapa saat aku tidak
bercakap. Tersedar dari lamunan, aku pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku
mula berubah. Merah padam jadinya. Marah bercampur malu benar-benar ada dalam
diri aku sekarang.
"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni
tak ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak tidur?"
Aku memarahi Harriz.
"Saya tunggu awak... ." "Tak payah nak
tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak kecik lagi. Saya tahu pukul berapa saya
nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya
masak lauk kegemaran awak, masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka.
Mari makan sama, saya tak makan lagi ni." Harriz mempelawa aku. Masak
lemak cili api ikan keli? Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila
ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan apa. Tengah hari tadi tak keluarpun
sebab kerja banyak. Petang pula ada mesyuarat. Bila dah habis kerja, aku pulak
yang sengaja balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati Harriz. Sampai
pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah
lapar. Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia. Habislah
rancangan aku nak bagi dia marah.
"Awak ni pandai masak ke? Saya ni
memilih orangnye. Takpelah saya dah kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak nak
makan, awak makanlah sorang." Aku pura-pura menguap di hadapannya
"Ahh.. ngantuknya.."
"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak
tentu lapar." Harriz terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung saji
dan menyendukkan nasi untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak
aku. Macamana dia tahu aku tak makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang
tamu dan ruang makan. Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang sedang leka
menyiapkan makan malam yang rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia tak
makan kerana menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan
dah siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia.
Aku pantas menaiki tangga meninggalkan Harriz. "Awak tak nak makan? Tak
sakit perut ke, awak? Nanti, kalau awak jatuh sakitkan susah.." Harriz
menasihati aku. Langkahku terhenti.
"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan
saya dah cakap, saya dah kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah sorang.
Saya nak naik atas, nak mandi dan tidur. Awak jangan ganggu saya!!" aku
bentak keras.
"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar,
awak makanlah ye. Pergilah awak berehat," Harriz mengakhiri perbualan
kami. Aku terus naik ke atas dengan perut yg benar-benar lapar. Rasa nak
terbalik dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah aku
boleh bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak
bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku.? Itu baru satu keadaan di
mana dia boleh bertahan dengan sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak
tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa berlakon di depan ayah dan ibu
sewaktu kedatangan mereka ke rumah kami. Dari berdiri jarak 50 meter kini dah
rapat macam belangkas. Dari muka yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum
meleret. Aku kena memainkan peranan sebagai isteri dan Harriz sebagai suami
sedangkan gelaran itu memang ada pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan
watak tetapi Harriz bijak memainkan peranannya sebagi suami.
"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku mengajukan
soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami menjamu
selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh Harriz
tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum
menggeleng.
"Ain... Ain... Mak dan ayah belum panas punggung lagi dah
ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak. Salahke mak melawat anak mak
yang kini dah jadi isteri orang," balas ibu.
Aku tertunduk malu. Ye tak ye
jugak.. "Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik awal.
Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau
ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni.." Harriz menyampuk.
Aku
menjeling pada Harriz. Nampaknya, dia ni nak mengambil kesempatan. Ketika itu
tangan kirinya sengaja memeluk pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak
tolak.
"Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun tentu bosan duduk
kat rumah, lagipun ayah kerja." Aku terpaksa menipu. Kalau boleh nak saja
aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak sukakan mereka
tapi aku tak mahu berlakon lagi.
"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah
berkeluarga. Mak dan ayah tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak melepas
rindu. Dua hari lagi kami baliklah."
Alamak 2 hari lagi Terasa seperti 2 tahun nak menunggu mereka balik. Aku
lihat Harriz tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk pinggangku. Suhu di
kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku cekik-cekik Harriz sekarang.
Betul-betul mengambil kesempatan. Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke
arah aku.
"Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2 petang
Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan ayah
tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain balik."
"Hari ni kan
Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian kat Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti
jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga makan pakai
si Harriz ni. Kesian Harriz." Berbakul-bakul ibu membela Harriz. Eeeee...
.bertambah-tambah geram aku. Ayah hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak
masuk campurlah tu. Pendek kata, apa saja yang ibu cakap ayah akan
setuju.
Betullah mereka ni satu kepala. Berbeza aku dan Harriz, ibarat panggang jauh
dari api. "Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak tolak.
Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama kat sini." Aku membalas
kata-kata ibu dengan harapan Harriz akan membantu aku.
"Takpe, mak. Saya
tak kisah, lagipun selama ni tak pernah kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun
saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia kawan lama saya masa kursus kat Tokyo
dulu." Harriz menyokong aku. Lega rasanya di hati. Aku memandang Harriz.
Dia hanya tersenyum. Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium
tangannya. Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan mencium tangan Harriz.
"Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara meminta izin. Mak dan
ayah tersenyum-senyum memandang gelagat kami berdua. Rasa senang di hati mereka
melihatkan kemesraan aku dan Harriz yang sebenarnya dibuat-buat.
Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-tiba sahaja menghilangkan
diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar
suaranya. Izham masih lagi di London. Dahulu, di awal usia perkahwinan kami
Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku semangat. Izham
tahu mengenai masalah aku dan Harriz. Dia juga tahu rancangan aku mengenai
'perkahwinan kontrak' ini. Izham langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa
aku menerima Harriz bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada
ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup
menunggu aku bukan saja setahun malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup
menanti aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang paling bertuah
kerana dapat memiliki cinta Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi aku.
Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Izham
sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu kehadiran
aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah pasti perkara yang
sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan hati
boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap satu angan-angan
yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada Harriz. Kadangkala aku terlalu
bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit sebanyak telah mengubah
hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang baik, dan
benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah
menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz yang
tulus ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku. Bila difikir-fikirkan,
aku rasa bertuah kerana punya seorang suami yang terlalu memahami aku.
Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu didodoi. Aku sakit
dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang masakku malah bila aku
terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu dia punya
urusan lain.
Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan Izham? Tiba-tiba saja hati aku terdetik,
mungkinkah jodohku memang bersama Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup
bersama Hariz sehingga aku mati. Di mana Izham sekarang? Kenapa dia
menghilangkan diri? Sudah tiada lagi cintakah di dalam hatinya untukku? Atau
aku sahaja yang mengangankan sesuatu yang bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang
sudah tentu menjadi milikku aku abaikan begitu saja. Antara Harriz dan Izham??
Siapa yang harus aku pilih? Ooohhh... Terlalu sukar hidup ini.
"Masih
panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke klinik.." Aku ingat lagi
peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku pada Harriz dan wujudnya
rasa cinta dan kasih di hati ini pada Harriz. Ketika itu aku demam panas.
Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu. Nak bangun dari katil
pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan Izham dan dalam masa
yang sama aku juga sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat.
"Tak pe, saya
sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak
risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah kerja awak. Jangan
ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara. Tapi bukannya aku marahkan
Harriz, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di kepala yang aku alami.
Harriz
masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di dahiku. Aku menepis dengan
kuat tangan Harriz. Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun tapi
tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan kemarahanku, Harriz terus mendukungku
keluar dari bilik. Aku benar-benar terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh
Harriz menjadi sasaran aku untuk memukul.
"Awak nak bawak saya ke mana ni
? Lepaskan saya!!" Aku cuba menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak
mampu untuk aku meninggikan suara. "Awak sakit di hadapan mata saya.
Takkan saya nak jadi orang bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan
awak dalam keadaan macam ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih
penting sekarang."
Harriz... .Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu yang
mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti pada orang
yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku
terlantar sakit Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti
semata-mata untuk menemani aku. Segala makan dan pakai semuanya Harriz yang
lakukan untuk aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan Harriz. Entah
mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada Harriz berubah menjadi
kasih dan sayang pada Harriz. Aku benar-benar terharu dengan keikhlasannya
selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Harriz yang sanggup hidup
bersama aku susah dan senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan
kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya terhadap kedegilan aku
membuatkan aku mula jatuh cinta pada Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi
segalanya. Aku malu untuk meminta maaf pada Harriz walaupun selama ini aku yang
banyak melakukan kesilapan. Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah
menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang sempurna pada Harriz.
Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya
aku boleh gembira sekarang kerana tidak lama lagi Harriz akan melafazkan
kata-kata keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku
rasakan sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat melupakan
ingatan aku pada Izham. Kerinduan pada Izam sudah tiada lagi. Yang terbayang di
dalam fikiran aku sekarang hanyalah Harriz Bin Hisham, seorang suami yang
terlalu agung darjatnya dalam hati aku. Aku benar-benar takut untuk berpisah
dengan Harriz. Selepas ini Harriz bukanlah lagi peneman setia aku. Aku dapat
rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Harriz dan
gurauan Harriz.
Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah aku lakukan sekarang? "Selagi awak di hadapan
mata saya dan awak hidup bersama saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai
suami akan saya lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah
menjadi tanggungjawab seorang suami supaya menjaga isterinya samada dalam
keadaan susah mahupun senang. 2 minggu lagi, hubungan kita akan tamat. Tapi,
percayalah biarpun sehari malah sesaat pun, awak tetap di hati saya. Saya tahu
kebencian awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya.
Ianya tidak akan pernah pudar. Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu
teruskan hidup ini bersama awak Nurul Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam
hati saya." Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu
memandikan aku yang terlantar sakit.
Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku.
Terasa ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu
masih tertutup. Mungkin Harriz menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak
sebenarnya. Segala kata-kata luahan hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak
berani untuk menatap wajah Harriz ketika itu. Harriz, kenapa kau terlalu baik
pada diri ini yang seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu.
Aku tidak mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau
dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi
untuk meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Hariz. Terasa kecil
diri ini di hadapan matamu Harriz.
"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak sedangkan sebelum
ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi awak
sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang bodoh
namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz sewaktu kami
menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan
ayah. Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget.
"Soalan itu
rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi suami isteri lagi. Nama awak
sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya. Hampir dua tahun saya
mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan awak." Harriz sengaja
menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin keliru. Kali ini aku yang
memandang wajahnya dengan seribu pertanyaan di kepala.
"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup saya supaya
bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah belajar di luar
negara dan sama universiti dengan awak."
Aku ternganga. Ligat otakku
mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah aku jumpa di London.
Rasanya tiada langsung wajah Harriz yang pernah aku jumpa. Betulke dia ni atau
sengaja nak memainkan aku?
"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak
mana pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak
bergurau dengan saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz
cakapkan sebentar tadi?
"Saya belajar part time. Awak memang tidak akan
perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Izham selalu datang makan
di restoran tempat saya bekerja. Ingat tak Caf Bistroze? Saya jadi pelayan bar
di situ. Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar sepenuh masa.
Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat mengenali
awak." Harriz menamatkan ayatnya di situ.
Dia menghabiskan minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini
terlalu kecil. Tuhan menemukan aku dan Harriz tanpa aku mengenali siapa
dirinya. Harriz terlalu pandai menyimpan rahsia.
"Esok, genap setahun kita
menjadi suami isteri yang sah seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah
saya tandatangani. Biarpun hati ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak
pernah lupa dengan janji saya. "Melukakan hati dan perasaan awak adalah
satu dosa paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya sendiri.
Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang
seringkali melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak
dapat ampunkan dosa-dosa saya." Harriz tertunduk menahan sebak di dada.
"Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling saya takutkan.
Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir hidup saya yang
selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu kenangan yang
paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam diri saya. Awak
adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian singkat... ."
Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz. Apa yang dia cuba maksudkan?
Hariz yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Harriz yang selama ini aku
kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar seakan menyimpan satu
rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air mata lelakinya hampir
mengalir tapi mampu ditahan.
"Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya
yang sepatutnya memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai
isteri adalah terlalu besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan
keputusan saya selama ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak
layak untuk berada di hati awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang
wanita lain yang akan muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta
awak dan menyayangi awak lebih dari segala-galanya di dunia ini." Aku juga
menahan sebak.
Tidak mahu air mata ini mengalir di hadapannya. Percayalah Harriz,
sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki tapi aku tak mampu untuk
berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa lama lagi. Aku sebenarnya
terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang tulus ikhlas mencintai aku.
Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak sebutir permata yang boleh
menerangi sepanjang hidupku. Harriz hanya mampu tersenyum. Dia memegang
tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat rasakan mungkin itu adalah
ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
"Selepas ini, saya harap
awak tidak akan hilangkan ingatan awak pada saya. Biarpun diri saya ini
hanyalah sebesar zarah di hadapan mata hati awak, namun awak jangan lupakan
saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan sampai ke akhir hayat awak. Setahun
adalah satu tempoh yang singkat untuk saya lebih mengenali awak. Kalau Tuhan
mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini
bersama awak di dalam satu keadaan yang berbeza di mana awak benar-benar
mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati awak. Andai terjadi,
saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia yang paling bertuah dapat memiliki
awak." Kami bertentangan mata buat kali terakhir. Aku jadi sayu apabila
memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya terjadi...
Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti akan terjadi,
begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub. Ahhh..undang-undang yang
dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok akan ditentukan.
Aku tahu bukan sahaja aku, malah Harriz lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu
mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia
menghormati segala keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Harriz pada diri ini.
Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku keluar dari bilik. Aku
dapat rasakan sesuatu...
Harriz tiada di dalam biliknya. Begitu juga dengan
kereta Harriz, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu. Terlalu cepat Harriz
meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada aku buat
kali yang terakhir. Mungkin Harriz tidak mampu untuk berhadapan dengan aku.
Kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk sampul
surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati aku berdebar-debar. Semakin
lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk. Menggigil-gigil
jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut.
Lama aku perhatikan surat
Harriz. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan semuanya
berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut, namun, aku pasrah.
Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala keputusan
dengan tenang. Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Harriz biarpun
Harriz berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran
surat tersebut dan akhirnya...
"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan ini menceraikan NURUL AIN BT
HAMDI dengan talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak perkahwinan yang
telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER 2002" -HARRIZ BIN
HASHIM-
Dia benar-benar melakukannya... Pertama kali air mataku mengalir. Aku
kini bukan milik Harriz lagi. Tahniah untuk diriku sendiri kerana permainkan
undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang. Ooohh..Harriz.
Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan selamat tinggal yang
keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk aku
supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku sudah pasti aku tak mahu engkau
meninggalkan aku. Aku mula menyayangi dirimu Harriz.. Benih-benih cinta dan
kasih dalam diri ini pada Harriz sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk
tunaskannya...
Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak pernah bertemu dengan
Harriz. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Harriz
membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga aku temui. Aku
sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin mengikat semula tali
perhubungan kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain
selain Harriz yang boleh menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta
kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana
aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku
lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz tidak mahu berjumpa dengan aku?
Terlalu besarkah dosa aku padanya? Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian
aku dan Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya.
Ayah marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah
mereka tidak lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan
Harriz tidak boleh kekal bersama cuma mereka kesal dengan sikap dan perangai
aku yang tidak pernah berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk.
Tapi
itu dulu, sebelum kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu.
Harriz telah mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah
yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih,
sayang dan rindu. Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta, kasih dan
sayang pada Harriz semakin hari semakin bertambah. Nama Izham terus hilang dari
ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan
jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Harriz yang tertinggal
di rumahku selepas Harriz menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu. Setiap
detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Izham di London tertulis di dalam
diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia
banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz tidak tahu
bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku
ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz lebih mengenali aku
daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini.
Harriz... ..Di mana kau sekarang... Suatu hari, aku dapat berita yang
rasanya boleh meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang
sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang
Harriz tetapi malang kerana ketika itu aku berada di luar negara menguruskan
perniagaan ayah yang ada masalah. Aku menggantikan kerja-kerja Harriz kerana
Harriz bukan sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di
syarikat ayah juga turut dilepaskan. Ibu yang menelefon aku ketika itu
mengkhabarkan berita tidak baik tentang Harriz.
Harriz kini berada di wad
jagaan rapi (ICU). Harriz sakit kuat sekarang. Begitulah kata-kata terakhir
yang sempat aku dengar dari ibu kerana perbualan kami terputus disebabkan cuaca
buruk di New Zealand yang ketika itu mengalami musim sejuk. Aku tidak dapat
menghubungi ibu untuk mengetahui berita selanjutnya tentang Harriz. Aku
menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tapi semua penerbangan
dibatalkan untuk beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan
kehilangan Harriz dan aku tak sanggup untuk mendengar berita kehilangan Harriz
sekali lagi. Harriz...
Ya Tuhan, selamatkan Harriz. Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah
kami di bawah limpahan rahmat kurniamu... Aku tidak dapat tidur lena selepas
mendengar berita Harriz. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Harriz.
Bagaimana keadaan Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor
telefon ibu, namun tidak berjaya. Setiap saat degup jantung ini dapat aku
rasakan semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan Harriz. Mungkin
sekarang Harriz amat memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh
Harriz. Kita terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini
terlalu dekat padamu. Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku
katakan bahawa di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan
dijauhkan dari segala kesulitan hidup. Akhirnya malam keramat itu telah merubah
takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara
ibu menyampaikan berita yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah
balasan Tuhan di atas keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Tuhan
selama ini.
Harriz... Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar
telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui
sampai bila-bila...
"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari
yang lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua
buat selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah
semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu
untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain... .." Kata-kata ibu
tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa berada di awangan. Semuanya
bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata mengalir tanpa
henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak sempat untuk aku
sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada Harriz.
"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain tidak sempat
untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan Ain... " Aku menjerit
sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku
keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Harriz yang wujud dalam
diri ini tapi kini Harriz meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang arah
tuju.
Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz tidak pernah menceritakan pada aku
tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz malam itu aku rasakan lain. Dia
benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku
bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku
jaga Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di hadapan mata aku sendiri.
Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Hariz
meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah berputik. Kepulangan aku ke bumi
Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin sangat
aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang tinggal untuk aku lawati.
Setitis demi setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara
Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan berada di sebelah aku melihat aku
mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya.
Harriz, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon
ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini biarpun
ketika kita bersama. Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang mendalam
terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri aku
sendiri.
Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini dapatku
baca. Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau karangi
hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!.. Ikhlasnya
cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini untuk aku
beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama. Selafaz doa aku
bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon padamu Harriz... Sajak
yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku membacanya. Sekali lagi aku
menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat
pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah ditentukan Tuhan.
Sesungguhnya...
syurga seorang suami adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan senang...
Permata hati buat isteri yang disayangi Nurul Ain Bt Hamdi... Dunia saya
sewaktu bersama awak dirasakan amat luas... . Awak adalah anugerah Tuhan yang
tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak pernah wujud dalam diri
awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya Saya sayang awak lebih
dari segalanya Saya mencintai awak dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah
terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus saya jaga
sebagaimana Tuhan menciptakan Adam untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak
dirancang... Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan nafasnya.
Biarpun saya tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah lupa akan
diri ini yang sentiasa mencintai awak... -HARRIZ BIN HASHIM- 01 JANUARI 2003
moral of the story : cintailah org yang menyintai kita setulus hati ...
..
No comments:
Post a Comment