Kajian dapati wujud risiko sakit jantung, kemurungan dan gangguan
psikologi
LONDON: Wanita memerlukan tidur mencukupi jauh melebihi lelaki
dan boleh mengalami masalah mental dan fizikal jika dipaksa keluar tanpa
menikmati tidur selesa.
Malah, kekurangan tidur juga boleh meletakkan golongan itu pada risiko tinggi
menghidap sakit jantung, kemurungan dan masalah psikologi, menurut hasil
kajian.
Selain itu, wanita yang tidurnya kerap terganggu atau terutama mereka yang
sukar melelapkan mata – berkemungkinan dua kali ganda memiliki paras tinggi
bahan yang dikaitkan dengan diabetes Jenis 2 dalam darah mereka. Kesihatan
lelaki, bagaimanapun tidak begitu bergantung kepada bagaimana nyenyaknya mereka
tidur, menurut kajian Universiti Duke, Durham, Carolina Utara.
Penyelidik universiti itu meminta 210 lelaki dan wanita sihat yang tidak ada
masalah atau gangguan tidur supaya mengisi borang soal selidik mengenai kualiti
tidur mereka.
Sukarelawan juga dinilai bagi tahap kemurungan, kemarahan, panas baran dan
sebanyak mana sokongan sosial yang diperoleh. Contoh darah responden turut
dianalisis. Daripada analisis, kira-kira 40 peratus peserta dikelaskan sebagai
mengalami masalah tidur yang teruk. Ketika tidak banyak perbezaan dalam kualiti
tidur antara kedua-dua jantina, wanita, bagaimanapun, didapati lebih menderita
apabila tidur terganggu.
Saintis mendapati di kalangan subjek wanita yang mengalami masalah tidur –
kualiti tidur yang teruk atau sukar untuk tidur selama lebih dua malam
seminggu, atau mengambil masa lebih 30 minit untuk tidur – juga dikaitkan
dengan paras tinggi fibrinogen – faktor pembeku yang dikaitkan dengan angin
ahmar.
Wanita yang mengalami masalah tidur juga cenderung menunjukkan paras tinggi
pelbagai penanda dikaitkan dengan keradangan yang membawa kepada ketebalan
arteri dan meningkatkan risiko sakit jantung.
Mereka yang kurang tidur juga melaporkan lebih banyak gejala kemurungan, panas
baran dan kemarahan. Bagaimanapun, lelaki yang mengalami masalah tidur tidak menunjukkan
peningkatan risiko keadaan seperti yang menjejaskan wanita.
Profesor Jabatan Psikiatri dan Sains Tingkah Laku Universiti Duke, Dr Edward
Suarez, berkata: "Ini adalah bukti berdasarkan ujian pertama yang
menyokong apa yang kami perhatikan mengenai peranan jantina dan kesannya
terhadap mutu tidur dan kesihatan.
"Kajian menunjukkan gangguan tidur – diukur dengan jumlah tidur
keseluruhan, tahap terjaga pada waktu malam, dan paling penting berapa lama
diambil untuk tidur – memberikan masalah kesihatan serius kepada wanita berbanding
lelaki." – Agensi